RESEPI HOT!

Sunday, June 14, 2020

Resepi Kek Karot Mudah!

Resepi Kek Karot
Resepi Kek Karot

Bahan-Bahan Resepi Kek Karot
:

a) Kek Karot
  • 250g (2 cawan) tepung serbaguna
  • 350g (1 3/4 cawan) gula
  • 330g (3 cawan) lobak merah, diparut
  • 120g (1 cawan) kacang walnut, dicincang
  • 75g (1/2 cawan) kismis (opsyenal)
  • 2 sudu teh serbuk kayu manis
  • 1 sudu teh garam
  • 4 telur sederhana besar
  • 225g (1cawan) minyak sayuran atau minyak jagung
  • 50g (1/4 cawan) susu
  • 2 sudu teh soda bikarbonat
Resepi Kek Karot

b) Krim Keju
Sukatan untuk kek satu lapis sahaja. Gandakan ukuran kalau anda membuat kek berlapis atau bertingkat.
  • 100g krim keju penuh lemak, lembut tapi masih sejuk apabila disentuh
  • 100g mentega asin, lembut tapi masih sejuk apabila disentuh
  • 200g (2 cawan) gula aising
  • 1 sudu teh ekstrak vanila tulen

Cara-Cara:

a) Kek Karot
  1. Panaskan ketuhar pada suhu 170C pada tetapan pemanasan konvensional (tiada kipas).
  2. Sediakan satu atau dua dulang bakar kek 9 inci, bergantung berapa banyak lapisan anda nak sediakan. Sapukan mentega dan tepungkan permukaan dulang kek.
  3. Parut lobak merah dan cincang kacang walnut. 3 lobak merah bersaiz besar dapat memberi anda 3 cawan parutan.
  4. Dalam mangkuk besar, masukkan lobak merah diparut, kacang walnut cincang, tepung serbaguna, gula, serbuk kayu manis dan garam. Anda juga boleh masukkan kismis juga. Kacau dengan sudip atau sudu besar hingga adunan kelihatan sekata.
  5. Pecahkan telur dalam mangkuk kecil berasingan. Pukul telur dengan garfu hingga sekata sebelum menuang telur ke dalam mangkuk berisi bahan kering. Kacau.
  6. Masukkan minyak dan kacau rata.
  7. Secara berasingan, masukkan soda bikarbonat ke dalam susu. Kacau hingga soda bikarbonar terlarut.
  8. Masukkan susu dicampur soda bikarbonat ke dalam adunan utama. Kacau rata.
  9. Tuang adunan ke dalam dulang kek yang disediakan. Untuk membakar satu adunan sahaja, bakar selama 60 hingga 70 minit, bergantung pada ketuhar anda. Kalau anda putuskan untuk bahagikan adunan anda kepada dua untuk menghasilkan kek karot berlapis, bakar selama 45 hingga 50 minit. Ingat, anda boleh periksa kek anda sudah siap masak atau tidak dengan mencucuk lidi di tengah-tengah kek anda. Kalau bersih, maksudnya, kek ada sudah siap dibakar.
  10. Apabila sudah siap, biar kek menyejuk sepenuhnya dan letakkan krim keju di atas sebelum menghidang.
b) Krim Keju
  1. Untuk menyediakan krim keju ini, gunakan pengadun elektrik untuk memukul krim keju dan mentega bersama pada kelajuan sederhana tinggi hingga halus, selama 2 minit.
  2. Masukkan gula aising dan ekstrak vanila. Teruskan memukul hingga adunan menjadi ringan dan gebu. Krim frosting ini mestilah lembut tapi masih boleh dibentuk. Kalau krim keju anda terlalu cair, mungkin anda, seperti kami, tinggal di negara beriklim khatulistiwa dan cuaca panas telah membuat krim anda tak jadi. Anda boleh simpan krim keju anda dalam peti sejuk selama 10 hingga 15 minit atau masukkan sedikit lagi gula aising. Kalau krim keju terlalu pekat, tambah satu sudu teh susu.
Tip Tambahan:
  1. Anda boleh menggunakan pengisar makanan untuk memarut lobak merah tapi saya cadangkan anda parut sendiri. Tekstur kek anda akan menjadi lebih baik.
  2. Kalau anda alah dengan kekacang atau tak sukakan kacang, tak perlu masukkannnya ke dalam kek.
  3. Kalau anda tak sukakan kacang walnut, anda boleh gantikannya dengan kacang pecan.
  4. Kalau anda berasa terlebih rajin, anda boleh panggang kacang walnut atau pecan anda dulu untuk menjadikan kek anda lebih savouri. Ia dapat menyeimbangkan rasa kek yang manis dan gebu.
  5. Kalau anda bercadang untuk membuat kek berlapis atau bertingkat dan sukakan nenas, cincang sedikit nenas dan masukkan ke dalam aising di lapisan di tengah. Begini, hantu nenas akan berasa lebih puas menikmati resepi kek karot ini. Kalau anda tak suka, tak perlu masukkan atau boleh buang semasa makan nanti.
  6. Kek ini begitu versatil dan betul-betul mudah untuk disediakan. Dengan jumlah lobak merah yang diperlukan untuk resepi ini, peluangnya sangat tipis untuk anda mendapat kek yang kering. Paling penting sekali, anda dapat sediakan kek ini tanpa menggunakan sebarang peralatan canggih.

Share this:

Post a Comment

 
Back To Top
Copyright © 2014 Resepi Mudah. Designed by OddThemes